Skip to content

Hakikat Diri Dan Kelahiran Semula

August 19, 2011

Hakikat Diri dan “Kelahiran Semula” – 1/2
Bersabda Nabi Isa (a.s) :
“Manusia tidak akan boleh masuk ke alam (malakutnya) langit, kecuali telah dilahirkan dua kali seperti burung.” (Kitab Sirrul Asrar Syaikh Abdul Qadir al-Jailani)

Burung dilahirkan dua kali, pertama keluar telur dari ibunya, kedua menetas ia dari telurnya. Beberapa aliran dari agama lain seperti Buddha atau Hindu mempercayai kelahiran kedua yang dinamakan “inkarnasi”. Fahaman ini amat tua dan hanya berdasarkan lingkungan alam dunia yang sempit.

Fahaman inilah yang dinyatakan oleh Allah dalam surah At-Jathiyah ayat 24-26 :
“Mereka berkata kehidupan ini tidak ada selain kehidupan kita didunia ini sahaja, disinilah kita mati dan disinilah kita hidup. Tidak ada yang merosakkan kita ini kecuali masa. Tetapi sebenarnya mereka tiadalah pengetahuan tentang yang ghaib melainkan hanyalah sangka-sangkaan sahaja. Apabila dibacakan kepada mereka keterangan-keterangan kami yang jelas, mereka tiada bantahan kecuali mereka hanya berkata, ‘Datangkan kehidupan kembali bapa-bapa kita, jika apa yang kamu katakan itu benar.’ Katakanlah Allah itulah yang menghidupkan kamu semua, kemudian mematikan kamu semua pula, akhirnya kamu semua dikumpulkan pada hari Qiamat. Hal ini tidak perlu diragukan lagi tetapi ramai manusia memang tidak mengetahuinya.”

Dalam Islam ia dipanggil tanasukh. Ada juga aliran dari Syiah yang menerimanya sebagai pegangan. Namun mereka percaya berlakunya tanasukh hanya pada Imam-Imam Duabelas sahaja, bukan pada semua manusia.

Kepercayaan perpindahan ruh ke dalam badan manusia yang lain atau dalam badan haiwan mengikut amalan mereka di dunia dahulu adalah menyalahi sifat ruh sendiri. Ini disebabkan Qalbi mereka tidak tersingkap untuk melihat ruh di alam Jabarut dan alam Lahut walaupun mereka melakukan meditasi berpuluh-puluh tahun. Dunia ini amat kecil sahaja jika dibandingkan dengan beberapa alam yang terdinding dari pandangan manusia. Namun syaitan atau jin amat bijak dalam menyesatkan manusia.

Kadangkala jin yang bersama tuannya dahulu ketika hidup menyusup masuk ke dalam badan manusia seperti kanak-kanak untuk membuktikan bahawa ruh hidup kembali dalam badan yang lain adalah benar. Ini juga yang berlaku pada kaum Nabi Musa (a.s) apabila syaitan menyusup ke dalam patung lembu dan berkata-kata sehingga ramai pengikut Nabi Musa percaya bahawa itu adalah jelmaan Allah. Mereka melihat ia adalah nyata, sedangkan Tuhan yang disebut oleh Nabi Musa (a.s) tidak dapat dilihat.

Begitu juga tersesatnya kaum Quraisy dengan patung Latta dan Uzza, kerana kedua-dua patung tersebut boleh berbicara. Apabila Nabi sallaLlahu ‘alaihi wassalam menyuruh Khalid al-Walid a.s menghancurkannya, Saidina Khalid melihat syaitan wanita berterbangan lari dari patung tersebut. Begitu juga apabila berlakunya patung menangis atau ruh simati hidup kembali. Segala itu adalah jelmaan syaitan atau jin kerana ruh yang telah keluar dari alam ini tidak kembali ke sini lagi. Ruh yang baik akan ke ‘Illiyin dan ruh yang jahat akan ke Sijjin. Ia adalah alam ruh bukannya alam nyata.

Untuk melihat alam ruh yang tidak dipermainkan syaitan, manusia perlu menyingkap Qalbinya berdasarkan kaedah-kaedah yang diambil dari Nabi sallaLlahu ‘alaihi wassalam. Segala pintu alam langit, alam rahsia tertutup ketika lahirnya Nabi Muhamad sallaLlahu ‘alaihi wassalam. Mereka tidak dapat menembusinya melainkan dengan jalan Muhammad sallaLlahu ‘alaihi wassalam. Nabi telah membukanya kembali pada malam Israk dan Mikraj, sesiapa yang mahu pergi ke langit perlu melalui pintunya. Nabi adalah pemegang rahsia langit, rahsia alam ghaib, rahsia alam keTuhanan. Tiada ruh yang boleh terbang ke alam keTuhanan melainkan dengan izinnya, dengan mengikuti ajaran dan mencintainya.

Kerana itulah Saidina Umar al-Khattab menangis apabila melihat seorang rahib yang tekun bermeditasi di dalam lubang yang kecil sehingga Umar mengatakan : “Aku menangis kerana ketekunan kamu untuk mencapai Tuhan, sedangkan pintunya tidak engkau lalui iaitu Muhammad sallaLlahu ‘alaihi wassalam”. Mereka tidak akan mencapainya melainkan dimainkan oleh khayalan dan syaitan.

Berlakunya pembukaan yang ghaib seperti melihat ruh, melihat Tuhan adalah sebenarnya masih di alam ini lagi. Para ahli sufi termasuk Syaikh Abdul Qadir al-Jailani juga mengalami peristiwa terbuka rahsia keTuhanan ketika khalwatnya, namun dengan rahmat Allah ia selamat dari tipu dayanya. Dalam pembukaan ini, ramai para ahli sufi terkeliru sehingga menyangka mereka telah mencapainya. Ini kerana ia berlaku dalam bentuk yang begitu hebat dan tersilau segala rohani kala menatapnya. Ia datang dengan beberapa kalimat pengajaran, namun hakikatnya tersembunyi tipu daya yang halus.

Justeru itu manusia memerlukan Nabi yang memiliki kelebihan ruhnya yang berkemampuan melihat dan menerima wahyu. Nabi mengesahkan apa yang tersingkap pada Qalbi para sahabat adalah benar-benar Tuhan. Ilmu penyaksian yang haq atau tersingkap Qalbi secara haq terhadap alam keTuhanan ini diturunkan kepada beberapa orang sahabat. Sahabat mengajar pula kepada beberapa orang para tabi’i, para tabi’i mengajar pula kepada beberapa orang di kalangan tabi’i-tabi’i dan seterusnya sehingga sampai ilmu itu pada hari ini kepada orang yang tertentu pula. Justeru itu, pembukaan mereka yang tidak melalui jalan kenabian hanyalah sekitar di alam dunia ini dan alam mithal, iaitu alam ghaib yang masih tidak terkeluar daripada kongkongan alam jasad.

Manusia itu perlu dilahirkan kali kedua. Bayi jasad lahir dari gabungan dua nutfah iaitu lelaki dan perempuan. Bayi maknawi lahir gabungan dari ilmu zahir dan batin. Amal zahir ialah ibadah syariat dan amal batin ialah ikhlas. Ruh Al-Qudsi yang datang dari alam Lahut telah dikandung dalam Qalbi manusia. Ia telah terkurung dalam kegelapan. Apabila manusia beramal soleh dan meninggalkan segala kejahatan, zikir lisan berpindah kepada zikir hati dan zikir hati berpindah ke dalam lidah hati. Ketika itu Ruh Al-Qudsi akan lahir kembali dari Qalbinya dalam bentuk permulaan dan dinamakan Bayi Maknawi “Tiflul Maani”.

Pada peringkat ini, jiwa seseorang itu cenderung melakukan kebaikan, amat menyesal apabila melakukan kejahatan. Inilah kebanyakan peringkat jiwa yang ada pada manusia yang bermujahadah terhadap sifat jahat dalam diri mereka walaupun dari pelbagai agama. Sebagaimana bayi jasad yang membesar dengan keperluan makanan, minuman dan penjagaan, begitu jugalah dengan bayi maknawi.

Seseorang itu janganlah hanya berpuashati dengan keadaan bayi maknawinya. Ia perlu dibesarkan sehingga melalui beberapa kelahiran kembali (peringkat) sehingga akhirnya ia kembali kepada asal keadaannya di alam Lahut. Mereka perlu memberi makanan, minuman dan didikan kepada bayi maknawi itu kerana ianya mengandungi pelbagai rahsia. Justeru itu, guru yang sebenar ada dalam diri manusia sendiri, ia adalah hakikat kehidupan, ia adalah pemegang ilmu rahsia alam ghaib.

Dengan penjagaan dan didikan yang betul, bayi maknawi ini akan melewati dari alam bayi kepada kanak-kanak (alam Malakut) kemudian berpindah ke alam remaja (alam Jabarut) dan dari remaja menjadi seorang dewasa yang matang (alam Lahut). Ketika itu Ruh Al-Qudsi telah sempurna kembali kepada hakikatnya. Ia kembali makrifat pada Allah SWT dengan pandangan yang haq. Ia tidak lagi menjadi tua dan tiada mati.

Pernah satu ketika Rasullullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam bersabda pada seorang wanita tua “Tiada orang tua sepertimu di dalam syurga”, wanita tua itu begitu sedih hati apabila mendengar sabda baginda sallaLlahu ‘alaihi wassalam, kemudian Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam bersabda lagi “Usah bersedih, maksudku ialah di syurga nanti tiada orang tua sepertimu kerana orang tua sepertimu akan menjadi muda belaka”.

Hakikat Diri dan “Kelahiran Semula” – 2/2
Seorang Muslim mencari rahsia dirinya di alam ruh sedangkan “inkarnasi” mencari siapa dirinya pada kehidupannya pada kelahiran yang lalu. Kehidupan semula di alam ini menyebabkan ruh akan terus terkongkong dan tidak meningkat atau maju. Mereka bermujahadah di alam dunia yang penuh ujian dan fitnah sehingga mereka mati, kemudian ruh dikembalikan pula ke alam ini pada kelahiran yang lain. Ruhnya kembali pada proses pertama iaitu kembali kotor, gelap kemudian menghadapi pelbagai ujian hidup kembali. Alangkah menderitanya ruh kerana tiada erti kerehatan. Ruh tiada kemajuan, hanya hidup mengalami proses yang sama cuma badan yang berlainan dan ujian yang berlainan. Ini adalah penyiksaan pada ruh yang berkekalan.

Ruh adalah kehidupan; adanya rasanya, pandangan, pendengaran, ilmu, kudrat dan iradat. Ruh tidak memerlukan badan, ia sudah mempunyai badannya sendiri mengikut alam. Sarungnya lebih cantik pada setiap alam. Apabila berlakunya peningkatan kesucian ruh, tersingkap baginya beberapa ilmu dan pandangan. Pandangan terhadap perkara yang haq tidak akan hilang. Apabila ruh kembali ke alam Lahut, tersingkap padanya rahsia keTuhanan yang haq. Inilah yang disabda oleh Nabi sallaLlahu ‘alaihi wassalam: “Sesiapa yang masuk ke syurga tidak akan keluar lagi”, bermakna ruh yang sudah masuk ke alam Lahut tidak akan kembali kepada kegelapan.

Amat salah bagi mereka yang berfahaman “inkarnasi” kerana percaya bahawa ruh akan kembali gelap dan hilang segala ilmunya apabila masuk kembali ke dalam tubuh yang baru. Perkara yang binasa itu adalah makhluk dan dari syaitan sedangkan Wajah Allah itu kekal, ilmu itu terus terpancar pada cemin Qalbinya sehingga meleburkan segala kebatilan, syirik, mazmumah pada dirinya.

Firman Allah :
“Katakanlah, apabila datangnya yang haq (kebenaran) maka akan hilanglah yang batil.” (al-Israa’ : 81)

“Wajah-wajah (orang-orang mukmin) pada hari itu berseri-seri. Kepada Tuhannyalah mereka melihat.” (al-Qiyaamah : 22-23)
Sesungguhnya manusia tidak boleh menyucikan dirinya, Allahlah yang menyucikan dirinya dengan berlakunya beberapa tajalli pada cermin Qalbinya. Bukit Tursina hancur dan Nabi Allah Musa (a.s) pengsan ketika Allah mentajallikan dirinya. Bukit Tursina dikiaskan kepada segala mazmumah dan pengsannya Nabi Musa dikiaskan berlakunya fana’ iaitu keleburan seorang hamba dengan Tuhannya, bukannya hamba menjadi Tuhan. Ia umpama cahaya lampu yang hilang di dalam terang cahaya matahari. Cahaya lampu tetap wujud tetapi tiada kelihatan. Cahaya lampu akan kelihatan apabila cahaya matahari menghilang.
Kasyaf terhadap Tuhan ada tiga dan ia hampir sama. Pertama dari syaitan, ia menyesatkan dan menyebabkan manusia itu terkeliru. Justeru itu, seseorang pengembara rohani perlu mempunyai ilmu asas keTuhanan seperti wajib memahami sifat yang wajib,mustahil dan harus bagi Allah. Tanpa memahaminya ia akan terkeliru dan boleh tersesat.

Kedua kasyaf pada rohani. Ia kelihatan sama seperti saudara kembar yang tidak dapat dikenali dengan sepintas lalu, namun pembukaan itu tidak meleburkan sifat mazmumah dalam diri, malah kadangkala menjadikan manusia itu sombong sehingga menyangka mereka mencapai darjat yang tinggi. Ada yang meninggalkan syariat, ada yang meringankan ibadah, ada yang sudah mula merendahkan orang lain, ada yang mendakwa ilmunya yang haq dan orang lain belum sampai.

Ketiga ialah kasyaf Rahmani dimana berlakunya peleburan mazmumah. Mereka menjadi manusia baru seperti ular yang keluar dari kulitnya, diberi kulit (perangai) yang baru. Tiada padanya kesombongan dan dakwaan, malah mereka tenggelam dalam lautan dosa dan kehambaan. Mereka mencintai ibadah, amat cinta dan takut pada Allah. Banyak menilik kelemahan diri dan menjauhi segala bentuk pujian. Jiwa mereka sentiasa dalam keadaan takut dan harap pada Allah SWT.

Tipu daya nafsu bagi permulan penuntut ialah perlawanan dengan nafsu kebaikan dan sentiasa jatuh maksiat zahir. Tipu daya nafsu bagi pertengahan penuntut ialah dorongan kepada ibadah dan kebaikan tetapi didalamnya terkandung tipu daya, seperti pengakuan menjadi Nabi, Wali dan sebagainya. Sedangkan pada daerah makrifat, tipu daya nafsu dengan syirik khafi (penyekutuan yang samar) berupa jenis cahaya seperti pengakuan menjadi tuhan, bersatu dengan tuhan dan sebagainya yang melibatkan kesalahan akidah. Peringkat ini amat bahaya kerana mudah tergelincir akidahnya.

Seorang penuntut perlu mendalami Akidah Ahli Sunnah wal Jamaah dan mendapat bimbingan Guru yang mantap kefahaman akidah, syariat dan tasawufnya kerana tanpa asas ini amatlah bahaya. Bagaikan mendaki bukit yang tinggi dan curam, potensi untuk tergelincir amatlah mudah.

Firman Allah SWT :
“Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya…” (al-Jatsiyah : 23)

Wallahu ‘alam.

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: